Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 28 September 2014

PAS TIMBALAN SPEAKER DUN SELANGOR : BELUM ADA KATA PUTUS

KUALA LUMPUR: PAS belum memutuskan sama ada menerima atau tidak jawatan Timbalan Speaker Selangor seperti yang diumumkan Menteri Besar sebelum ini. Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad  berkata, pertemuan exco dan bekas exco PAS dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi belum memutuskan pendirian berhubung perkara tersebut. "Pada pertemuan Exco dan mantan Exco PAS dengan Presiden malam, tadi belum diputuskan sama ada PAS akan terima Timbalan Speaker," katanya dalam satu tulisan ringkas di Facebook.

 Sebelum ini, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiga Adun PAS dilantik sebagai Exco iaitu kurang satu kerusi berbanding empat sebelum ini. Bagaimanapun menurut Azmin, PAS akan diberi jawatan Timbalan Speaker yang telah dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang dari empat exco PKR. Azmin membariskan pasukan exconya mengikut komposisi 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS. Dua exco dari PAS yang dikekalkan adalah Iskandar Abdul Samad (Chempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi. Manakala seorang lagi muka baru adalah Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib.

PAS DAN KISAH BULINYA

PAS ini, daripada awal penubuhannya lagi adalah parti yang sering dibuli musuhnya. Dulu teruk dibuli. Kini pun teruknya Pas dibuli oleh musuhnya tak habis-habis lagi. Pembulinya kadang-kadang rakan-rakan mereka juga. Waktu susah Pas diminta tolong. Waktu senang, Pas ditinggalkan, disalahkan dan dibuli. Sebelum Pas ditubuhkan dulu, yang teruk dibuli adalah para ulama dan pejuang kemerdekaan. Pembuli mereka adalah penjajah dan talibarut penjajah. Kelihatannya, hal Pas dibuli ini ada kaitannya dengan sejarah lama kerana apa yang dituntut oleh para pejuang kemerdekaan dulu, itulah yang dituntut oleh Pas hari ini. Mereka daripada mata rantai yang sama. Umno paling lama membuli Pas. 

Jumaat, 26 September 2014

Kabinet Selangor : Pengaruh PAS Dikurangkan

Komposisi barisan Exco Selangor akhirnya terjawab pagi ini apabila Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan senarai yang baharu dengan mengurangkan kuota Exco Pas. Komposisi terbaru yang diumumkan Azmin menyaksikan jumlah kerusi PKR menjadi empat, diikuti DAP tiga dan Pas tiga. "Kerusi Pas dikurangkan selepas mengambil kira semua pandangan PR semalam," ujar Azmin pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini. Senarai terbaru yang diumumkan Azmin sebentar tadi ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Amirudin Shari (PKR), Dr Dorayah Alwi (PKR) juga Elizabeth Wong (PKR).

Khamis, 25 September 2014

Senarai EXCO Selangor Diumum Esok

SHAH ALAM, 24 SEPT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang meneliti barisan Exco Selangor yang baru dan memberi jaminan ia akan selesai esok. Katanya beliau akan menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk memaklumkan perkara berkenaan sebelum Majlis Angkat Sumpah pada Jumaat ini. MB Azmin“Belum ada (exco baru). Sekarang ini kita sedang teliti barisan exco baru dan disusuli pertemuan kedua petang ini. 

PAKAR : PR BAKAL PECAH JIKA ADUN HULU KELANG DAN MORIB DILANTIK EXCO

Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berpendapat Pakatan Rakyat kembali berantakan sekiranya dua Adun PAS yang melanggar ketetapan parti dan bersolidariti dengan rakan-rakan PKR dan DAP dilantik Exco.Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya itu berkata PR sewajarnya mengelak mencetuskan pergeseran baru yang hanya akan melambat-lambatkan proses pemulihan krisis perebutan jawatan Menteri Besar. “Ini akan menimbulkan pergeseran sebab mereka yang menentang PAS juga diserap. 

Pertama, kita sedar tindak tanduk mereka menimbulkan kemarahan kepada PAS khasnya Datuk Seri Hadi Awang sendiri. Sekiranya mereka ini diserap jadi Exco, ini tamparan kepada PAS dan keretakkan dalaman Pakatan Rakyat (PR) jadi lebih jelas,” tegas beliau. Di muktamar PAS baru-baru ini, Presiden Abdul Hadi Awang membidas Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin hingga menggelar mereka ‘barua’ kerana menandatangani akuan bersumpah menyokong calon Langkah Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

PRK PENGKALAN KUBOR CIPTA SEJARAH TERSENDIRI

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Kubor adalah amat tinggi dalam tempoh empat jam pertama. PRK-pengkalan-kuborSetakat jam 12 tengah hari tadi, peratusan keluar mengundi mencecah 54 peratus bersamaan 12,945 pengundi. Bahkan dari seawal 10 pagi lagi, seramai 6,618 pengundi sudah melaksanakan tanggungjawab mereka. Menurut SPR, peratusan ini yang terbaik berbanding beberapa PRK lain selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Sejumlah 11 pusat mengundi di buka bermula jam 8 pagi menanti 23,929 pengundi sah.

Selasa, 23 September 2014

Tiada Campur Tangan Politik Sepanjang Khidmat Tan Sri Khalid Ibrahim

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata sepanjang empat tahun beliau berkhidmat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiada sebarang campur tangan politik dalam urusan pentadbiran di negeri ini. Beliau berkata, Abdul Khalid yang menjadi Menteri Besar dua penggal berturut-turut sejak Mac 2008, memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk melaksanakan segala dasar membabitkan negeri dan rakyat.

 "Kita dalam barisan pentadbiran negeri tidak pernah menghadapi sebarang tekanan sewaktu Abdul Khalid berkhidmat dan bebas membuat keputusan mengikut dasar yang telahpun dipersetujui," katanya ketika berucap di majlis perpisahan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK hari ini.

Terima Kasih Rakyat Selangor .. Terima Kasih Semua

Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim 


Syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor selepas lebih enam tahun memegang jawatan ini bermula pada Mac 2008 sehinggalah ke hari ini, 22 September 2014. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terutama kepada rakyat Selangor yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran negeri termaju di Malaysia ini. 

MOHAMAD AZMIN ALI MB SELANGOR GANTI TAN SRI KHALID IBRAHIM

Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok. Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar kepada Azmin hari ini. Sementara itu, Munir dipetik oleh Bernama sebagai berkata pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Azmin dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baru. Ketika ditanya mengenai surat pelantikan itu yang tersebar di media sosial, Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya. Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini. Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri lebih 200 kakitangan. 

Isnin, 22 September 2014

Isu Cabar Presiden : Beli Tak Semestinya Guna Wang

KUALA LUMPUR: Istilah beli yang digunakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dua Adun PAS di Selangor, tidak semestinya bermaksud dibayar dengan duit. Sebaliknya ia hanya berbentuk kiasan merujuk kepada tindakan adun terbabit yang tidak merujuk pimpinan parti terlebih dahulu untuk menyertai rancangan politik parti lain. "Bila sebut beli tak semestinya bayar dengan duit. "Beli maruah diri, beli sokongan tanpa merujuk parti terlebih dahulu. Semua ini kiasan kepada beli," kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Presiden PAS membuktikan dua Adun PAS terbabit telah dibeli. Ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PSS Pusat ke-60 kelmarin, Tuan Guru Abdul Hadi berkata PKR tidak patut membeli dan mencuri dua wakil PAS untuk menjayakan rancangan politik mereka.

Isu SD : Saari Sungip Cabar Tuan Guru Presiden

SHAH ALAM – Adun Hulu Kelang, Saari Sungib mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti beliau dibeli oleh PKR untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Malah beliau turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada parti sekiranya Abdul Hadi mempunyai bukti beliau berbuat demikian dan bersedia dibawa ke muka pengadilan sekiranya terlibat dalam politik wang. “Saya tak tahu apa maksud ‘broker’, ‘barua’, dicuri dan dibeli. Jadi Pas perlu jelaskan sebab sebelum ini tak pernah dengar saya ini 'broker' atau 'barua' dan dibeli. "Dibeli ini adakah dengan cara jual beli pantun macam itu atau pun melibatkan wang ringgit? 

Selamat Tinggal Tan Sri Khalid ... Jasamu Sentiasa Dikenang Rakyat Selangor

Pertama kali saya mendengar pidato Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ketika kempen pilihan raya umum ke 12 pada 2008, di Bandar Tun Razak dan saya dapati ucapan beliau membosankan. Ramai yang datang tetapi seolah tidak diperdulikan sangat apabila beliau seolah tergagap dan sukar difahami maksud ucapan beliau. Saya ketika itu membuat tugasan sebagai pelajar kolej meminta untuk memubual beliau selama lima minit, dan reaksi awal saya terus berubah. Walaupun saya telah lupa apa isi temubual itu, namun saya ingat jawapan beliau satu persatu jauh lebih baik dan meyakinkan berbanding ketika berucap di hadapan ratusan hadirin di atas pentas. Sebulan kemudian, beliau dilantik menjadi menteri besar Selangor dan saya meneruskan pengajian. Hampir dua tahun selepas itu, saya terjun ke dunia kewartawanan dan ditugaskan membuat liputan aktiviti kerajaan negeri Selangor. 

Khalid Ibrahim : MB Selangor Yang Terbaik

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah salah seorang menteri besar terbaik di Selangor, kata Exco Iskandar Abdul Samad. Beliau yang juga ADUN Cempaka berkata Selangor sebagai "amat bertuah" kerana mendapat menteri besar seperti Khalid sepanjang enam tahun ini. "Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid, yang telah menjalankan tugas dengan baik. "Saya melihat dia antara Menteri besar terbaik yang pernah Selangor dapat," katanya ketika ditemui media di lobi bangunan SUK hari ini. Hari ini merupakan hari terakhir Khalid menamatkan tugasnya selepas kemelut beberapa bulan di mana pada kemuncaknya beliau dipecat PKR.

Tahniah KSN : Ikon Membaca Kebangsaan

         PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dipilih sebagai Ikon Membaca Kebangsaan, sekali gus menjadi penjawat awam pertama yang menerima anugerah itu. Ia diumumkan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Mahmood pada majlis pelancaran program Merakyatkan Budaya Ilmu Peringkat Putrajaya:'Take A Break...Read@Putrajaya' di sini hari ini yang disempurnakan oleh Ali . Ikon Membaca Kebangsaan merupakan anugerah inisiatif Perpustakaan Negara sejak 2009 bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca terutama dalam kalangan generasi muda. Ketika ditemui pemberita, Ali berkata selain membaca buku ilmiah seperti ekonomi dan kepimpinan untuk mendapatkan idea-idea baharu, beliau turut memilih bahan bacaan ringan untuk melapangkan fikiran.

MB Baru Selangor : Siapa Pilihan Sultan Selangor ?

SOALAN yang sering bermain di fikiran setiap rakyat Selangor, iaitu siapa menteri besar yang baharu, akan terjawab hari ini, apabila pihak istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung nama pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Pengumuman ini dibuat sehari sebelum istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang, 10 pagi esok. Ini juga memberi maksud bahawa tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sejak lima tahun akan tamat dan diteruskan oleh calon yang baharu. Sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memaklumkan, Abdul Khalid mengakhiri tugasnya hari ini sebelum Majlis Angkat Sumpah menteri besar baharu, 23 September ini. “Pejabat Menteri Besar juga dalam proses pengosongan. Tan Sri pun akan pergi bercuti dalam tempoh terdekat ini,” katanya. 

Ahad, 21 September 2014

Akhirnya Tuan Guru Presiden Nyatakan Pendirian

BATU PAHAT - Setelah lama berdiam diri, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya meluahkan segala yang terbuku di hatinya berhubung masalah berpanjangan yang dihadapi parti itu dan pakatan pembangkang. Menggunakan pentas Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang berakhir semalam, Abdul Hadi membidas pihak yang ‘mencuri’ dua Adun Pas bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Pada sesi penggulungan ucapan itu, Abdul Hadi mendakwa terdapat 'broker' dan 'barua' yang mencuri dua Adun Pas itu untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR itu untuk jawatan tersebut. Beliau dalam nada tegas berkata, tindakan berkenaan seolah-olah mengkhianati tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dijalin dalam PR.

Jumaat, 19 September 2014

Tegur Pimpinan Dalam Pemilihan Tahun Depan

BATU PAHAT – Semua ahli Pas diseru menjaga adab dan akhlak dalam melahirkan rasa tidak setuju kepada mana-mana OI atau tindak tanduk pimpinan parti itu. Perwakilan Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, meskipun ahli-ahli tidak bersetuju dengan mana-mana pimpinan, rasa hormat itu perlu tetap ditunjukkan. “Selangor memandang serius beberapa tindak tanduk dan kenyataan-kenyataan yang dibuat dalam bentuk penghinaan ataupun tidak begitu berakhlak dan beradab kepada pimpina. “Biar siapapun mereka yang berada di atas, mereka adalah yang kita pilih dan kita lantik. Setuju atau tidak dengan mereka, adab dalam jemaah perlu dijaga. Kita hadapi dengan sabar dan hujah yang baik serta akhlak yang baik,” katanya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-60 di sini, semalam. 

Teguran PAS Perkukuh Pakatan Rakyat

BATU PAHAT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak melihat teguran Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai satu amaran sebaliknya ia adalah penegasan bahawa PAS akan terus beristiqamah dengan Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, penegasan itu sudah tentunya akan membantu hubungan dan kerjasama yang baik dengan Pakatan Rakyat. Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya hari ini menegaskan akan terus bertahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat selagi tidak melanggar syarat persepakatan yang dipersetujui bersama. "Saya tidak anggap sebagai amaran, ia adalah penegasan Presiden PAS yang menjawab pelbagai persoalan bahawa PAS akan terus beristiqamah dengan Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Teguran Buat Cybertroopers : Guna Pada Jalan Yang Betul

BATU PAHAT: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh ahli PAS agar menggunakan media sosial untuk tujuan dakwah memperbetulkan manusia ke jalan yang benar. Beliau menegaskan, media sosial bukan untuk tujuan menyerang sesama sendiri sehingga menimbulkan perpecahan. "PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana yang masuk ke setiap rumah sehingga mewujudkan situasi tidak seimbang di kalangan rakyat. "Malah serangan dikalangan ahli-ahli PAS sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter dan sebagainya seolah-olah mereka yang terlibat dalam perang siber ini sudah hilang punca," katanya.

Majlis Angkat Sumpah MB Selangor Baharu 23 Sept Ini

SHAH ALAM, 18 Sept (Bernama) Istana Selangor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini. Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama bagaimanapun enggan mendedahkan nama menteri besar yang baharu itu. Beliau berkata perkara itu hanya akan diketahui pada hari mengangkat sumpah berkenaan. Bernama difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali dan Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad adalah calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu. Namun, ketika diminta mengulas perkara itu, Mohamad Munir enggan mengesahkannya. 

Khamis, 18 September 2014

Mungkinkah YB PAS Pilihan Istana Selangor ?

BATU PAHAT - Exco Negeri Selangor Sallehen Mukhyi menafikan beliau menjadi pilihan Istana Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya (1) Pas Selangor, dikerumuni wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja, hari ini. "Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor yang baharu). 

PERTIKAI LAGU NEGARAKU TINDAKAN TAK PATRIOTIK

KUALA LUMPUR - Mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung wayang dengan era komunis adalah perbuatan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana menghormati lagu kebangsaan merupakan asas seorang warganegara. Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata setiap warganegara seharusnya mempunyai 'pertalian' dengan Negaraku, dan mereka yang mempertikaikan langkah memainkan lagu itu dalam sesuatu acara seharusnya dikenakan tindakan. "Apa yang dimaksudkan dengan komunis? Mereka yang mengaitkan Negaraku dengan komunis hanya pandai temberang, tidak banyak pengetahuan tetapi mahu berkata-kata," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Kay Kim juga kesal kerana semangat menghormati lagu kebangsaan lebih menebal di dalam diri masyarakat di luar negara, berbanding rakyat Malaysia. "Jika dikatakan itu (memainkan Negaraku di panggung wayang) sebagai komunis, adakah rakyat lain yang menunjukkan sikap kenegaraan tinggi semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan juga komunis?," soalnya. 

AZAN IRINGI PEMERGIAN ASSYAHID USTAZ LOTFI

ALOR SETAR - Jenazah Mohd Lotfi Ariffin, 45, yang meninggal dunia selepas Maghrib (waktu Syria), kelmarin, selepas bertarung nyawa enam hari lalu kerana koma akibat diserang hendap 9 September, selamat dikebumikan bersama rakan seperjuangannya dari Malaysia yang turut terkorban. Berdasarkan maklumat yang dikemas kini melalui Facebook rakannya, Akel Zainal II yang berada di negara bergolak itu, awal pagi semalam, memaklumkan, jenazah Mohd Lotfi atau diberi gelaran Abu Musab tiba di Kafr Zetta, Syria selepas waktu Maghrib. “Sepatutnya jenazah dijangka tiba esok (hari ini), Alhamdulillah tiba lebih awal dari jangkaan. Jasadnya masih lagi berpeluh dan darah terus mengalir dari kesan-kesan luka walaupun selepas sehari syahid. Ketika jenazah diturunkan ke liang lahad, azan Isyak berkumandang,” katanya. 

TG PRESIDEN : JANGAN SANGGAH DASAR PAS

BATU PAHAT - Di sebalik pendirian Pas beristiqamah dalam tahaluf siyasi dengan PR, namun parti itu mengingatkan rakan komponen bahawa Pas tidak rugi jika syarat kerjasama politik itu dicabuli. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya mereka (parti) yang konsisten menghormati syarat tahaluf siyasi itu sahaja akan selamat. "Dalam semua keadaan, Pas tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasar yang kukuh dan matlamatnya yang nyata.

 "Hanya mereka yang beristiqamah bersama Pas sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita," katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Muktamar Pas Pusat, di Parit Raja, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas pernah bersendirian dalam berpolitik dan bertahaluf dengan pihak lain sama ada dalam kerajaan atau tanpa kerajaan. "Jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita," tegasnya lagi.

MUKTAMAR PAS 60 RAKAM TAKZIAH PADA AHLI KELUARGA MANGSA MH370 DAN MH17

BATU PAHAT - Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang membuka tirai hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas pada 17 Julai dan pesawat MH370 yang hilang sejak 3 Mac. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh anggota parti melahirkan kesedihan dan mendoakan seluruh anggota keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat itu supaya bersabar dan tabah dengan ujian yang menimpa. "Muktamar kali ini ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang dibedil pihak yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap merasmikan muktamar yang bertemakan "Terus Beristiqamah" di Parit Salleh Ros, Parit Raja, di sini. 

AJARAN SESAT : SULTAN MAHMUD JADIAN DITAHAN

MELAKA – Pernah didakwa bekas pengikut sebagai Imam Mahdi dan Sultan Mahmud, lelaki berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Pak Engku atau dipanggil Wak ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana menyebarkan ajaran bercanggah dengan landasan Islam sebenar. Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan sudah kira-kira 10 tahun menyebarkan ajaran mirip kepada ilmu Hakikat Insan yang difatwakan haram. Malah, katanya, individu terbabit juga sudah berpindah-randah di 13 lokasi di beberapa negeri; antaranya Johor dan Melaka. Beliau berkata, beberapa amalan jelas terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah; antaranya suspek bersama pengikut melakukan pemujaan dengan menggunakan telur ayam, susu lembu, pulut kuning yang dialas dengan kain merah untuk dipersembahkan kepada makhluk halus. 

MAHASISWA BANTAH LATIHAN TENTERA AMERIKA DI MALAYSIA


1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengutuk tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana telah membenarkan tentera Amerika Syarikat mengadakan latihan eksesais bilateral di negara ini. 

 2. GAMIS meluahkan rasa kebimbangan dan kerisauan disebalik apa yang terjadi. Walaupun dimaklumkan oleh Angkatan Tentera Darat Malaysia bahawa tujuan pendaratan mereka adalah untuk latihan dalam bidang pengurusan bencana alam dan perlaksanaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun ia sungguh mencurigakan.

 3. Pendaratan tentera Amerika ini juga sebagai satu simbolik pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap keganasan Amerika dan sekutunya Israel terhadap umat Islam di seluruh dunia, khususnya di bumi Gaza melalui Operasi Perlindungan Sempadan (Operation Protective Edge) selama tujuh minggu. 

Hebat Bukan Lesen Besar Pertikai MSU

KULAIJAYA - 'Kehebatan' sesetengah pemimpin Pas tidak boleh dianggap sebagai lesen besar sehingga boleh mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama, yang selama ini menjadi teras dan tunjang kepada kepimpinan parti itu.     Setiausaha Dewan Ulama Pas Selangor, Izwan Baidawi berkata, ada kalangan ahli dan pemimpin parti itu yang 'seronok' dengan istilah tahaluf siyasi (kerjasama politik) sehingga terlupa yang mereka masih ahli Pas.     "Ulama perlu jadi benteng dan pemandu supaya ahli-ahli tidak terpesong sehingga menolak pendirian atau keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama. Kita perlu sama-sama memahami.    

Isnin, 15 September 2014

Isu UPSR BOCOR : PELAJAR BUKAN BAHAN UJIKAJI

KAMI menyatakan kesal dan tidak dapat menerima gejala soalan bocor dalam peperiksaan awam UPSR baru-baru ini yang telah menjejaskan kualiti pendidikan di negara ini. Lebih dikesali hal ini berlaku berulang kali dalam peperiksaan yang lain, yang juga berlaku saban tahun tanpa dapat dibendung. Kesannya bukan sahaja isu kredibiliti peperiksaan dan pensijilan pendidikan negara akan dipersoalkan akan tetapi lebih berat ialah imej ketelusan dan integriti negara pasti dipertikaikan. Dari sudut kos, ia memberi beban yang bukan sedikit kepada perbendaharaan negara. 

Ahad, 14 September 2014

PRK N01 PENGKALAN KUBUR : CARA KOTOR LAGI MENJIJIKKAN

TUMPAT: Umno kini dilihat bermati-matian mempertahankan Dun Pengkalan Kubor sehingga terpaksa menggunakan khidmat cybertrooper dan pengedaran cakera padat (VCD) bagi memburukkan PAS. Terbaru siber tropper Umno menggunakan isu ketidakhadiran pemimpin utama DAP pada perarakan penamaan calon semalam bagi menggambarkan hubungan dingin dalam Pakatan Rakyat. Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ada penduduk menemui VCD yang mempersoalkan tahaluf siyasi PAS bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. 

Tuan Guru Nik Aziz Optimis Calon Dipilih Rakyat

TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor berjalan baik mengikut amalan demokrasi. Katanya, tidak perlu melakukan perkara yang bertentangan demokrasi kerana pengundi telah akil baligh. Beliau berkata demikian kepada media di tempat penamaan calon, di sini hari ini. Katanya lagi, setiap perkara yang dilakukan di dunia ini akan berkait dengan akhirat, termasuk pilihan raya.

 "Hanya ajaran Islam sahaja yang akan mengingatkan umat manusia pada hal akhirat dan bukannya ajaran sekular. "Setiap pembalasan akan berlaku di akhirat kelak sama ada yang baik atau yang buruk," ujarnya. Walaupun tidak mengenal secara peribadi, namun apabila kepimpinan PAS kawasan memilih calon, sudah tentu ia cukup baik untuk mewakili Pakatan Rakyat. "Insya Allah, hasil kerjasama kita semua pihak, sokongan padu rakan Pakatan Rakyat, calon kita akan dipilih rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Harga Rumah Di Malaysia Termahal

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga rumah semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini, kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan. Kataya, peningkatan harga rumah pada suku pertama tahun ini kepada RM276,000 seunit membuktikan kebimbangan tersebut. Menurut beliau lagi, meskipun lonjakan kenaikan tersebut secara relatifnya lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun paras harga itu melebihi paras kemampuan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tekanan Dan Persaingan Faktor Kebocoran Soalan UPSR

PUTRAJAYA - Persaingan sengit dalam bidang akademik antara faktor yang menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab membocorkan soalan dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.    

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak menolak kemungkinan tekanan untuk memastikan kejayaan peperiksaan itu turut menjadi punca insiden itu.   "Itu saya rasa alasan paling kuat yang membolehkan orang mengambil kesempatan daripada peperiksaan bagi membuat duit atau sebagainya kerana semua orang hendak berjaya dalam akademik," katanya pada sidang berita selepas merasmikan perbincangan meja bulat 'Keselamatan Negara:Isu Pekerja Asing dan Cabaran Semasa' anjuran MPN dan Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.    

Sabtu, 13 September 2014

PRK PENGKALAN KUBUR: PERTANDINGAN 3 PENJURU

TUMPAT - Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sobri Ramli mengumumkan demikian selepas proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi. Mohd Sobri berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada Wan Rosdi pukul 9.05 pagi, Mat Razi  9.06 pagi dan Izat Bhukhary 9.17 pagi. 

 Proses penamaan calon berkenaan yang bermula 9 pagi berjalan lancar dengan ribuan penyokong daripada parti masing-masing mematuhi peraturan untuk berada di luar kawasan pusat penamaan calon yang ditutup pada 10 pagi. Mat Razi, 48, yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi ke pusat penamaan calon oleh penyokong BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8.40 pagi. Antara pemimpin BN yang turut bersama 5,000 penyokong mengiringi Mat Razi, 48, ialah 

Jumaat, 12 September 2014

Kumpulan Tentera Amerika Berlatih Di Kelantan dan Terengganu

Kehadiran sekumpulan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di Terengganu dan Kelantan adalah untuk menjalani latihan Eksesais Keris Strike Siri 18/2014 bersama dengan Tentera Darat Malaysia. Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota tentera AS itu adalah dari pasukan United States Army Pacific Command (USARPAC) yang berpangkalan di Hawaii. 

PENDIDIK Gesa Tubuh JK Siasat Kebocoran Ketas UPSR

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) mendesak kerajaan mewujuddkan satu Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat kes soalan Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 UPSR yang bocor. Presidennya, Normala Sudirman berkata pihaknya berasa kesal dan dukacita terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM)  dan Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) atas insiden tersebut. “Satu Suruhanjaya Bebas perlu dibentuk seberapa segera untuk menyiasat insiden yang berlaku agar kejadian yang sama tidak akan berulang pada peperiksaan yang lain seperti SPM ,STPM atau PT3.”

Isu Ketas UPSR Bocor : Pengarah LPM Digantung Tugas

VIENTIANE: Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 selesai, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut digantung tugas Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu. 

Wan Rosdi Calon PR Dun N01 Pengkalan Kubor

TUMPAT: Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57, akan membawa cabaran Pakatan Rakyat dalam misi merampas Dun Pengkalan Kubor yang dikuasai Umno sejak 2004. Pemilihan beliau diumumkan oleh pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada satu majlis malam ini. "Sudah lama orang ramai hendak tahu. Calon PR, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang tidak asing daripada kita. Katanya, Wan Rosdi ada pengalaman dalam masyarakat dan insya Allah akan berjaya menawan semula Dun Pengkalan Kubor. "Kerja-kerja wakil rakyat sudah jadi rutin baginya," ujar beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Rabu, 10 September 2014

Air Asia Sedia Ambil Pekerja Buangan MAs

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, bersedia mengambil sebahagian pekerja Malaysia Airlines (MAS) susulan rancangan Khazanah Nasional Bhd memberhentikan kira-kira 6,000 petugas di bawah pelan penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu, minggu lepas.

Selasa, 9 September 2014

Boikot Yahudi Hanya hangat-hangat tahi ayam

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini disifatkan tidak konsisten dan hanya hangat-hangat tahi ayam dalam memboikot produk yang ada kaitan dengan Israel. Pengerusi Aqsa Syarif, Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, penindasan rejim Zionis yang sudah mulai reda di Gaza menyebabkan masyarakat kembali membeli barangan yang telah diboikot dahulu. “Masyarakat perlu sedar bahawa Israel tidak akan berhenti daripada terus menjajah bumi Palestin dan tindakan masyarakat yang kembali membeli dan menyokong produk Israel adalah satu tindakan yang mengecewakan. “Untuk membebaskan bumi Palestin, kita memerlukan perjuangan berterusan dalam bentuk sumbangan dan penglibatan dalam kempen boikot," katanya. 

Pasangan Kembar Nyaris Diculik

AYER KEROH - Sepasang kanak-kanak kembar tahun tiga nyaris menjadi mangsa culik setelah diumpan gula-gula dan cuba dibawa lari dua lelaki bermotosikal ketika pulang dari sekolah di Masjid Tanah, pada 3 September lalu. Dalam kejadian jam 1.53 petang itu, Nur Athirah dan Nur Atikah Saiful Raffeei, 9, berjalan pulang ke rumah mereka di Taman Bidara Permai, kira-kira 75 meter dari sekolah. Sebaik tiba di persimpangan berhampiran rumah mereka, dua beradik itu dihampiri dua lelaki menaiki motosikal dan menawarkan gula-gula kepada mereka. Menurut Nur Athirah, dia terdengar seorang daripada lelaki itu menyebut mahu menangkap mereka, mereka menjadi takut dan lari.

Isnin, 8 September 2014

Isu Dalaman Parti: Bincang Di Muktamar Bukan Laman Sosial !!!

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS mahu ahli-ahli parti menggunakan peluang Muktamar Tahunan ke-60 di Batu Pahat bagi membincangkan masalah dalaman parti. Oleh itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ahli dan penyokong tidak sewajarnya mengeruhkan suasana politik sekarang dengan kenyataan tidak wajar melalui laman-laman sosial. Kata beliau ahli parti peringkat akar umbi dan pimpinan sewajarnya menerima keputusan pimpinan tertinggi parti demi kebaikan semua pihak. Katanya, setiap mesyuarat mengikut kaedah Islam diberi kuasa kepada pemimpin tertinggi parti membuat keputusan. 

SULTAN SELANGOR Dukacita Dengan Peel PKR Dan DAP

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.    

Bila Majlis Syura Ulama Tunjuk Kuasa ..

Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam perkara melibatkan kepentingan parti dan anggota jawatankuasa pusatnya pula harus menjalankan arahan diberikan. Menurut kenyataan badan kedua tertinggi pembuat dasar selepas muktamar itu, kedua-dua perkara itu termaktub dalam perlembagaan PAS, seperti berikut: Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.   

Menjadi kewajipan ahli jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m). 

Khalid Tetap Bersemangat Bekerja

SERI KEMBANGAN - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat semakin bersemangat mengurus pentadbiran Selangor meskipun meniti hari-hari terakhir sebagai menteri besar. Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, walaupun Abdul Khalid tidak mewakili PKR, pendekatan yang diambil dalam menjalankan tugasnya tidak berubah.

Ahad, 7 September 2014

Biar PAS Tentukan Pandangan Politiknya

WALAUPUN PAS berada dalam Pakatan Rakyat dan melalui persepakatan dalam Pakatan ketika mengambil langkah politik tertentu, tetapi tentu ada garis pemisah yang menentukan di mana hak parti komponen Pakatan dalam menentukan sikap politiknya dan di mana bukan haknya. Pelanggaran hak ini sudah tentu akan merosakkan keutuhan Pakatan, kalau benar-benar semua pihak mahu memelihara keutuhan Pakatan Rakyat. Dalam hal ini adalah wajar dan adil apabila Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini merasa kesal kerana, katanya, sejak mutakhir ini banyak berlaku di mana pihak lain cuba mencampuri urusan dalaman PAS khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor.

Isu MB Selangor : Penjelasan Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Berikut adalah antara petikan ucapan dan jawapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung isu calon Menteri Besar Selangor ketika pada majlis dialog di Dewan Tok Guru di Rusila, Terengganu semalam. 

 1. Kuasa Presiden PAS dalam perlembagaan parti 

 Soalan yang pertama yang mengatakan bahawa pemimpin dimintak hantar dua nama, itu tak betul. Dia minta hantar lebih daripada dua nama. Itu surat daripada istana. Surat tu ditujukan kepada ketua-ketua parti, tak ditujukan kepada ahli-ahli jawatankuasa. Bermakna ketua-ketua parti yang berhak untuk sign (tandatangan) surat tu. Orang lain daripada ketua parti tak boleh tandatangan surat ni. Hebat jugak ni, laku tandatangan ni. Lepas tu, yang keduanya, budi bicara. Kita dalam parti PAS ni sejak dulu, mengikut perlembagaan, Perlembagaan PAS mengatakan Presiden ada hak dia untuk membuat keputusan dalam beberapa perkara yang berkait dengan parti dan ahli-ahli parti, Timbalan, Naib-Naib, ini dia kena dukung keputusan yang dibuat oleh Presiden. Ini perlembagaan parti, mengatakan demikian.

Permurnian JAMAAH dan Muhasabah AHLI PAS.

Mutakhir ini dilihat PAS sedikit bergolak dalamannya. Ahli Pas rata-rata bijak berbicara, berhujjah, berpolitik dan bertelingkah sesama sendiri mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu yang menyebabkannya sebegitu. Maka risalah ini sebagai satu usaha mengembalikan kejernihan apabila kita mengenalpasti apakah punca penyakit ini sekaligus dapat merawatnya. Disini disenaraikan 20 perkara itu untuk dikoreksi oleh semua kita AHLI PAS.

 1. AHLI PAS duduk dalam jamaah Islam tapi tidak berjamaah dalam solat. Sedangkan kepimpinan dan jamaah dididik daripada solat berjamaah dan diperolehi keberkatan dengan solat. Falsafah yang bermakna daripada solat berjamaah sebenarnya mendidik dan membentuk jiwa orang Islam dan pejuang yang mantap. Dalam sejarah pernah dikhabarkan bahawa dalam satu peperangan, musuh pernah menyerah kalah kerana melihat tentera Islam solat berjamaah. 

Terkejut Dilantik Mursyidul Am PasMa

IPOH – Bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang terkejut apabila nama beliau disenarai sebagai 'Mursyidul Am' Pasma. Malah menurutnya, dia memang tidak tahu mengenai pertubuhan berkenaan yang kini menjadi ‘viral’ di laman-laman sosial. “Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu forum di Shah Alam esok (8 September) bersama ahli panel, (Datuk) Husam Musa dan Dr Mujahid (Yusof Rawa). 

PasMa Cetusan Baru ??

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata NGO pro-Pakatan Rakyat itu tidak merancang untuk diperkembang menjadi parti politik untuk menggantikan PAS.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa PasMa mungkin menjadi platform bagi menubuhkan parti serpihan PAS.

ADUN Pengkalan Kundor itu berkata, PsMa ditubuhkan oleh anggota PAS untuk mengukuhkan kerjasama di antara Pakatan Rakyat dengan menganjurkan dialog dan wacana.

Isu MB Selangor : PAS Tolak Bersebab

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tentangannya ke atas cadangan untuk mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai menteri baru Selangor bukan disebabkan faktor jantina. Sebaliknya, ia berdasarkan faktor kebolehan presiden PKR tersebut, katanya dalam satu taklimat kepada sekumpulan penyokong parti di Marang semalam. 

 "Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan jawab soalan di parlimen, untuk soal di parlimen, soalan dalam DUN, nak berdialog dengan lawan dalan Dewan Negara pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin?

Isu MB Selangor : PAS juga Berhak Cadangan

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas mempunyai kuasa budi bicara untuk mencadangkan nama calon menteri besar daripada parti itu tanpa perlu merujuk kepada Jawatankuasa Pas Pusat. Perkara itu termaktub dalam perlembagaan parti, tegas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Katanya mengikut perlembagaan parti, presiden ada hak membuat keputusan dalam beberapa perkara berkaitan parti dan timbalan presiden, naib-naib presiden dan anggota perlu mendukung keputusan dibuat oleh presiden.

Rabu, 3 September 2014

Isu MB Selangor : Serah Kebijaksanaan Sultan Menentukan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Istana Selangor akan memberi makluman mengenai cadangan nama Menteri Besar yang baru dalam masa terdekat. Jelas Khalid, beliau telah dimaklumkan ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP telah menghantar nama calon cadangan bagi jawatan Menteri Besar kepada Sultan Selangor. 

Kes Denggi Di Melaka Membimbangkan

MELAKA - Sebanyak 1,774 kes demam denggi dilaporkan dari Januari hingga 30 Ogos lepas di Melaka, meningkat 1,363 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, angka tersebut meletakkan Melaka sebagai negeri ketiga tertinggi mencatatkan kes demam denggi selepas Kelantan dan Negeri Sembilan Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak lima kes kematian dicatatkan berbanding dua kematian tahun lepas. 

Mantan KSU Pertanian Timbalan Pengerusi SPR

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu. Beliau menggantikan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tamat tempoh perkhidmatan pada 27 Nov lepas.

 Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Mohd Hashim, 60, berkuat kuasa 5 Sept sehingga beliau genap usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. 

Unit Amal Kebanggaan PAS

Ustaz Khalil Abdul Hadi 

BERAMAL Kerana Allah!" Demikian tema tersemat kuat menjadi cinta disanubari setiap anggota Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS atau masyhur dikenali sebagai Unit Amal. Di mana jua program PAS, anggota Unit Amal setia menjalankan tugasannya mengkoordinasi kawalan sekitar tempat aturcara dijalankan dan bekerja di bawah kepatuhan serta ketaatan disiplin tinggi. Hingga apabila mereka 'dilepaskan' untuk berada di medan masyarakat, anggota Unit Amal baik secara individu mahupun pasukan sentiasa mudah dan sedia menghulurkan khidmat mereka.

Jangan Guna Kuasa Cabar Perlembagaan Negara

KUALA LUMPUR - Pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini tidak seharusnya menggunakan kuasa serta pengaruh politik untuk mencabar Perlembagaan dan sistem perundangan negara. Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Shamrahayu Ab Aziz berkata, pemimpin parti politik sepatutnya bijak menggunakan kuasa untuk membezakan antara kepentingan politik dengan manfaat sesuatu tindakan kepada negara.

Lokasi Muktamar PAS Pusat Dipindahkan

KUALA LUMPUR - Akibat tekanan yang diterima pihak pengurusan Sutera Mall, Skudai Johor, Pas terpaksa membatalkan hasrat untuk mengadakan Muktamarnya kali ke-60 di situ. Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya terpaksa akur dengan keputusan Sutera Mall itu yang membatalkan permohonan Pas untuk menggunakan lot pakirnya pada pertengahan bulan ini. "Kita terima surat daripada tuan tanah dan mereka juga telah memulangkan cek deposit sewaan itu berjumlah RM75,000 kepada kami.

Selasa, 2 September 2014

Isu MB Selangor: Pas Selangor Serah Nama Esok

SHAH ALAM - Pas Selangor telah menghantar nama-nama calon dari kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, nama-nama wakil rakyat itu dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipersetujui sebelum dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. "Di peringkat Selangor kita telah serah beberapa nama kepada pusat dan terpulang kepada Pas Pusat nama-nama yang mereka nak berikan kepada Sultan. 

Muslimat Nafi Keluar Kenyataan Sokongan Wan Azizah

Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Yusuf kecewa dengan pihak yang menyebar satu kenyataan didakwa menyatakan sokongan tidak berbelah bagi pada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. Sedangkan, beliau tidak meneliti kandungan kenyataan tersebut dan tidak menandatangani apa-apa kenyataan yang menyatakan sokongan seperti itu.

 "Kenyataan semalam disebar tanpa sempat saya perhalusi dan ditandatangani serta Dewan Harian Muslimat turut memutuskan untuk menangguhkan kenyataan itu kerana membawa maksud yang berbeza," katanya seperti dilaporkan lidah parti itu, Harakahdaily. 

Siap Sedia Pertahan Unit Amal

Naib presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau bersedia mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan anggota Unit Amal parti tersebut dari sebarang tindakan kezaliman. Badan kebajikan itu dibimbanginya akan menerima nasib sama seperti Pasukan Peronda Sukarelawan Pulau Pinang (PPS). "Saya sedia pertahan dengan nyawa saya selagi mana kita yakin mereka menjalankan tugas kebajikan dan bukan aktiviti keganasan," katanya seperti dilaporkan lidah parti itu, Harakahdaily.

MERDEKA YANG TIADA ERTI

JERANTUT - Hari Merdeka ke 57 bagi seorang penoreh getah agak sedih dan suram apabila ladang sawit seluas 1.5 hektar dimusnahkan pihak berkuasa bagi tujuan tapak projek perumahan di Kampung Paya Gunung, dekat sini, kelmarin. Othaman Ismail, 55, yang ditemani isterinya, Rahimah Mat Deris, 55, berkata, berikutan notis daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di sini pada 6 Mei lalu meminta dia mengosongkan kawasan itu menyebabkan dia sekeluarga runsing malahan sambutan Aidilfitri baru-baru ini tidak semeriah sebelum ini. Dia sekeluarga juga kehilangan tempat tinggal apabila pihak berkuasa turut merobohkan kediaman mereka di tapak yang sama selepas notis berakhir 30 September ini. Difahamkan, Keluarga Othaman bersama tujuh keluarga lain kehilangan mata pencarian berikutan tanah kerajaan yang mereka teroka diambil semula untuk tujuan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak lama lagi.

Malaysia Masih Belum Merdeka


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kemerdekaan negara ini bukan yang sebenar ekoran masih terikat dengan sistem kehidupan dan bernegara penjajah. Menurutnya, pemerintahan yang ada kini hanyalah sekadar penyambung misi dan visi penjajah tanpa mereka perlu berada di sini. "Pemilihan tema sambutan kemerdekaan oleh Pas, 'Malaysiaku...Minda Merdeka' tepat dan sesuai dengan keadaan yang berlaku di negara sekarang. "Kerana bukan kemerdekaan yang sebenar apabila sesebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan tetapi masih terikat dengan segala sistem kehidupan dan bernegara mahupun undang-undang peninggalan penjajah walau yang memerintahnya adalah dari kalangan anak bangsa sendiri," katanya yang dipetik melalui perutusan kemerdekaan.

PEGUAM PAS SEDIA BELA UNIT AMAL JIKA DIDAKWA

SHAH ALAM - Semua peguam dari parti Pas bersiap sedia untuk ke balai polis dan mahkamah bagi membela anggota Unit Amal Pas jika mereka ditahan oleh pihak berkuasa. Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam satu kenyataan semalam berkata, keputusan sama ada unit itu sah di sisi undang-undang boleh ditentukan oleh mahkamah. "Jangan (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) terlebih sudu daripada kuah 'jatuh hukum' bagi pihak mahkamah.